Teknologi 5G Celcom pertingkatkan kawalan sempadan Pelabuhan Langkawi


Teknologi Kawalan Sempadan Digital 5G Celcom Axiata Bhd sedang diguna pakai di pelabuhan Langkawi susulan pelaksanaan penyelesaian Keselamatan Bandar Pintar 5G syarikat itu yang dibuat bersama dengan Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Langkawi.

Teknologi tersebut menawarkan sistem pengawasan keselamatan yang dipertingkatkan bagi kegunaan Lembaga Pelabuhan Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung dalam menjalankan operasi harian mereka dengan lancar.

"Kawalan Sempadan Digital 5G Celcom membolehkan pandangan landskap pelabuhan Langkawi dibuat secara digital dengan penggunaan beberapa kamera 360 darjah panorama 4K definisi tinggi. Kamera berkenaan akan memanfaatkan kemampuan 5G yang berkelajuan tinggi serta memiliki kependaman yang rendah.

"Kemampuan ini apabila dipadankan dengan kecerdasan buatan dan perisian analisis video, membenarkan kawalan parameter keselamatan yang dipertingkatkan di seluruh kawasan pelabuhan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat telekomunikasi itu menjelaskan, kamera itu juga akan mewujudkan garis sempadan digital di sepanjang persisiran pantai ke dalam pelabuhan untuk mencegah penyeludupan dan pencerobohan. Terdapat pengimejan haba bagi memantau kawasan mudah terbakar termasuk pemantauan masa nyata ke atas kargo dan kapal-kapal yang berlabuh di luar pulau yang melebihi tempoh masa, ini mengurangkan kemungkinan kebocoran dalam hasil.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Idham Nawawi berkata syarikat itu mengalu-alukan lebih banyak kerjasama di seluruh industri untuk menginovasi teknologi serta perkhidmatan 5G kerana ia akan terus meneroka penggunaan 5G yang akhirnya, boleh dimanfaatkan oleh perusahaan, pihak berkuasa, swasta dan awam sektor.

"Celcom akan terus bergerak seiring dengan negara dalam membawa aspirasi kerajaan menjadi kenyataan dan ketika negara mara memasuki Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), kami memberikan komitmen di Langkawi sebagai sumbangan dalam membangunkan ekosistem digital negara.

"Tambahan lagi, Celcom yang merupakan rakan kongsi sambungan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 yang akan datang, berharap, ini akan memberi peluang bagi menonjolkan inovasi dari syarikat Malaysia, terutamanya pemula niaga digital dan teknologi berkaitan IR 4.0 yang boleh membuka mata anggota delegasi," katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.