E-dompet dapat sambutan menggalakkan pada hari pertama


Program e-Tunai Rakyat bermula hari ini yang membolehkan kira-kira 15 juta rakyat Malaysia yang layak menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Touch ‘n Go, Grab dan Boost, mendapat sambutan hangat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sehingga tengah hari tadi, kira-kira 200,000 permohonan sudah diterima dengan lebih 160,000 diluluskan.

"Sambutan yang diterima begitu baik dan saya berharap ia akan digunakan oleh golongan peniaga. Penggunaan yang terlalu tinggi menyebabkan sistem 'hang' dan saya berharap tidak ada lagi masalah teknikal yang berlaku," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan RM100 juta kepada sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah pondok di Kementerian Kewangan di sini hari ini, Lim berkata beliau akan membuat tinjauan mengenai penggunaan e-dompet esok.

Setiap rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima wang e-tunai RM30 itu. Kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi tujuan itu di bawah pelaksanaan program e-Tunai Rakyat.

Ditanya jika sambutan yang diterima menggalakkan akan mendorong e-dompet menjadi mekanisme pemberian subsidi kepada rakyat seperti subsidi petrol, Lim berkata ia akan merangkumi pembayaran berbentuk kebajikan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH).

"Tetapi, kerajaan perlu ambil kira golongan yang kurang terdedah kepada sistem pembayaran digital. Jadi sebagai langkah pertama, perlu galakkan lebih ramai rakyat menggunakan e-dompet supaya pembayaran tanpa tunai lebih senang diterima masyarakat secara umum," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata Kabinet hari ini membincangkan cadangan untuk mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd.

“Sila tunggu pengumuman bertulis,” katanya dan menambah pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat secara bertulis kerana ia adalah isu penting.

Dilaporkan bahawa Kabinet akan membincangkan mengenai cadangan pengambilalihan PLUS Malaysia dan empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd semasa mesyuarat hari ini.

Pada Disember lepas, Menteri Kerja Raya dilaporkan berkata Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan konsesi lebuh raya PLUS itu dibentang semula.

Empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

-- BERNAMA
Powered by Blogger.