KKMM cadang wujud sistem 'fact checker' kekang berita palsu


Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan portal-portal berita untuk mewujudkan sistem ‘fact checker’ bagi menentukan kesahihan sumber berita sebagai langkah mengekang penyebaran berita palsu.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata peranan menghalang penyebaran berita palsu bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi semua pihak yang terlibat dalam proses pengeluaran dan penularan berita termasuk di media sosial.

“Setiap portal, kalau boleh, perlu ada ‘fact checker’ supaya kalau kita melayari satu portal dan tidak pasti (kesahihannya), maka kita boleh siasat kesahihan berita tersebut dan daripada mana sumbernya. Perkara ini masih dalam perancangan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Gobind menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) mengenai usaha kerajaan mengurangkan lambakan berita palsu dalam laman sosial.

Beliau berkata aduan awam tentang kandungan berita palsu yang diterima oleh kementerian juga telah meningkat sebanyak 55 peratus iaitu daripada 340 kes pada 2018 kepada 527 kes hanya dalam tempoh Januari sehingga September tahun ini.

Menjawab soalan asal Nik Mohamad Abduh berhubung sejauh mana laman web Sebenarnya.my diakses rakyat di negara ini bagi mengesahkan sesuatu isu, Gobind berkata portal yang diwujudkan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada Mac 2017 itu, memberi impak positif dari segi membantu menangani masalah penularan maklumat serta berita yang tidak sahih atau palsu dalam talian.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.