Atlet renang Sarawak ditemui mati


Atlet renang Sarawak, Ayrton Lim, yang ditemui mati di kediaman keluarganya di Tabuan Laru, di sini, hari ini, dipercayai mengalami kemurungan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, ibu mangsa dikatakan menemui atlet berusia 19 tahun itu tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani, berkata atlet itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang tiba di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati atlet terbabit dipercayai mengalami kemurungan sejak tiga hari lalu.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian juga tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke HUS untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, sumber berkata, kejadian dikatakan disedari ibu atlet terbabit selepas pulang dari menjemput seorang lagi anaknya di sekolah.

Mangsa sebelum ini pernah mewakili Sarawak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan dikatakan pulang dari menjalani latihan di Singapura, baru-baru ini. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.