Mengapa Pak Din, si pengawal keselamatan 'trending' di Twitter?
Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang jua. Peribahasa yang tepat menggambarkan kisah Pak Din, seorang pengawal keselamatan yang secara tiba-tiba menjadi 'trending' di laman sosial Twitter selepas meninggal dunia semalam.
Hingga ke hari ini, beribu-ribu ciapan membanjiri laman sosial tersebut dengan rata-rata menzahirkan ucapan takziah, rasa sedih selain mengimbas kenangan bersama Pak Din - nama sebenar Kamarudin Basri.
Pak Din, 67, yang telah bertugas hampir 20 tahun di Sekolah Kebangsaan dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas (CBN) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur semalam kerana komplikasi kesihatan akibat masalah jantung dan leukemia.
Anaknya Zulzailiza Kamarudin, 36, berkata beliau tidak menyangka kematian ayahnya menjadi satu topik dalam kalangan netizen, terutamanya bekas pelajar sekolah dan anggota keluarga mereka yang berkongsi berbagai-bagai kisah mengenai sikap prihatin ayahnya sepanjang bertugas di sekolah itu.
"Saya memang tak sangka benda ni boleh jadi besar (viral),” katanya kepada Bernama.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan CBN Rosemand A. Lawrence pula berkata kehilangan Pak Din benar-benar dirasai oleh semua warga sekolah termasuk guru dan pelajar.
"Kami merasakan kehilangannya. Pelajar (perempuan) amat menyayangi beliau. Kepergiannya satu kehilangan besar kepada sekolah ini,” katanya.
Guru Bahasa Melayu di SMKCBN Nor Aini Mohd Hol, 57, pula menyifatkan Pak Din sebagai hero CBN kerana beliau bukan sahaja pengawal keselamatan yang cukup dipercayai oleh ibu bapa tetapi turut disayangi guru dan murid kerana kemuliaan hatinya.
"Warga CBN memang mengharapkan kehadiran Pak Din setiap hari mengawal lalu lintas sepanjang Jalan Bukit Nanas, malah Pak Din juga membantu membaiki kerosakan, menggantung bendera, membaiki kereta yang sukar dihidupkan atau tayar pancit, dan sebagainya," katanya.
Bekas pelajar, Shaza Mhd Husam Eddin Al Muzayen, 24, mengimbau kenangan sepanjang mengenali Pak Din selama lima tahun bersekolah di situ dari 2008 hingga 2012, dan menyifatkan Pak Din sebagai insan yang murah dengan senyuman.
Katanya, Pak Din cukup terkenal dengan tiupan wiselnya yang amat nyaring dan kadang-kala meniup wisel hanya kerana hendak bergurau dan membuat pelajar serta guru terkejut, dan kemudiannya ketawa.
"Pak Din sentiasa berada di sekitar. Dari awal pagi hingga lewat petang, beliau orang pertama yang anda lihat datang ke sekolah, dan orang terakhir yang mereka lihat ketika pulang.
"Beliau sering membantu pelajar dan guru. Jika kami perlu bantuan menaikkan sepanduk, Pak Din akan bantu. jika kami hendak memasang hiasan, dia akan bantu. Pendeknya, apa jua bantuan yang diperlukan,” kata Shaza.
Sementara itu, ibu kepada bekas pelajar yang juga penyunting di Bernama, Melati Mohd Ariff berkata Pak Din amat mengambil berat hal keselamatan pelajar-pelajar di sekolah itu dan beliau juga seorang yang amat ramah dan mudah mesra dengan ibu bapa pelajar.
"Selama lima tahun dari 2008, setiap petang ketika saya menunggu anak balik sekolah, Pak Din sering berbual dengan saya dan juga ibu bapa pelajar lain.
“Di sebelah CBN ialah Hutan Simpan Bukit Nanas maka dialah yang selalu tolong halau monyet-monyet yang banyak berkeliaran dan bergayut di tiang elektrik di situ," katanya.
Rata-rata bekas pelajar dan pelajar CBN di Twitter pula menyifatkan Pak Din sebagai hero mereka dan 'the legendary guard' kerana beliau bukan sahaja melakukan tugas sebagai pengawal keselamatan tetapi juga kerja-kerja lain hanya kerana suka membantu warga sekolah.
Menurut @airawrrr misalnya, Pak Din turut membersihkan kolam ikan sekolah tersebut, memanjat bangunan sekolah untuk memasang sepanduk, menghalau monyet yang berkeliaran di kawasan sekolah dan juga menemaninya sekiranya ayahnya lewat datang menjemput pulang dari sekolah.
@liltdsnfatbelly dalam ciapannya pula berkata, "Pak Din tidak pernah mengatakan ‘tidak’ bila kami minta bantuan. Saya masih ingat dia pergi bersendiri ke hutan Bukit Nanas mencari kayu untuk kami buat prop drama dan kami muncul johan. Terima kasih kami ucapkan… kami kehilangan seorang wira CBN yang hebat!."
-- BERNAMA
Post a Comment