Bertutur bahasa Inggeris tidak bermakna lupakan tradisi kita - Permaisuri


Bertutur dalam bahasa Inggeris tidak bermakna kita telah melupakan tradisi kita, juga ia bukan bermaksud meninggalkan identiti kita, demikian titah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Raja Permaisuri Agong bertitah bahawa seseorang masih boleh memiliki nilai-nilai penting dan membesar menjadi rakyat global yang boleh dibanggakan oleh Malaysia dan pada masa yang sama fasih berbahasa Inggeris.

Meningkatkan keupayaan berbahasa Inggeris juga, titah Permaisuri Agong, akan membuka lebih banyak peluang dalam kehidupanan peribadi dan profesional, yang akan membolehkan seseorang itu bersaing dalam ekonomi global yang sememangnya pesat berubah

“Untuk Malaysia menjadi lebih sejahtera, kita perlu berkomunikasi dan melibatkan diri dengan jiran. Kita tidak boleh menjadi masyarakat yang tertutup, yang turut tidak kita mahukan. Kita harus berbangga dengan negara dan kebudayaan kita.

“Ia menjadi tanggungjawab kita untuk berkongsi ilmu, adat resam dan kebudayaan dengan komuniti dunia yang luas. Belajar dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris membolehkan kita melaksanakannya,” titah Tunku Azizah ketika berucap pada majlis Pahang Fulbright English Teaching Assistant Showcase 2019 di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menurut Tunku Azizah amat berkenan untuk menemui pelajar berbakat berkenaan serta melahirkan sokongan terhadap usaha bagi memperkayakan pendidikan dalam kalangan remaja.

Yang turut hadir ialah duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus.

Sambil menekankan kepentingan bahasa Inggeris, Tunku Azizah juga menyatakan bahawa seseorang itu juga perlu menguasai bahasa ibundanya kerana menjadi seseorang yang mahir dwibahasa akan memberi keyakinan kepada penuturnya untuk berkomunikasi dengan orang lain dari kaum yang berbeza.

Program berkenaan, yang bermula pada 2012, adalah satu kolaborasi bersama antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat yang bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mempelajari bahasa Inggeris secara lebih menarik.

Sebanyak 14 sekolah menengah di Pahang menyertai program berkenaan.

Tunku Azizah juga bertitah dengan adanya English Teaching Assistants (ETAs) telah mewujudkan satu cara baru pembelajaran, di mana pelajar tidak lagi boleh hanya duduk di belakang bilik darjah seolah-olah memberi perhatian dan mengingati beberapa perkataan sebelum diuji.

“Tiba-tiba, seorang berbangsa Amerika memaksa mereka agar bertutur atau berfikir sendiri. ETA juga mengubah kelas pembelajaran kepada situasi sebenar kehidupan menerusi semua aktiviti tambahan kurikulum dan kem. Ia menjadikan ilmu sebagai amalan di mana pelajar memperoleh banyak faedah,” titah Permaisuri Agong.

Tunku Azizah juga mengingatkan pelajar agar rajin belajar kerana semua usaha daripada kerajaan, pentadbiran sekolah, guru dan ETA tidak akan berubah tanpa diiringi komitmen mereka.

“Kamu perlu hadir ke sekolah, beri perhatian kepada guru, ikut nasihat ibu bapa dan yang paling penting lagi berusaha lebih gigih untuk menjadikan diri anda pemimpin masa hadapan Malaysia,” titah Permaisuri Agong.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.