Mayat lelaki bertatu, diikat batu bata ditemui di Sungai Rajang
Mayat seorang lelaki bertatu dengan tubuhnya diikat batu bata ditemui di Sungai Rajang berhampiran sebuah jeti persendirian di Jalan Lanang, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mayat berkenaan ditemui tersangkut pada pukat oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan penemuan berkenaan dan memaklumkan identiti lelaki berkenaan sedang dikenal pasti.
“Ketika ditemui, mayat lelaki itu hanya berseluar panjang. Kita sedang mengenal pasti identitinya. Di Sibu dan kawasan sekitarnya, tiada sebarang laporan kehilangan orang diterima setakat ini,” katanya.
Katanya, mayat berkenaan berjaya dinaikkan oleh anggota bomba pada jam 8.15 malam tadi sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati enam batu bata, masing-masing diikat pada leher dan pinggang mangsa. Siasatan lanjut juga sedang dilakukan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya. - BERNAMA
Post a Comment