Pusat beli-belah kitar semula sisa makanan jadi baja


Sebuah pusat membeli-belah di sini mengumpul sisa makanan daripada penyewanya yang menjual makanan dan minuman untuk diproses menjadi baja kompos.

Sunway Pyramid, menerusi kempennya bertemakan ‘Food CPR - Compost, Plant, Reduce’ menyasarkan untuk membantu mengurangkan sisa makanan di Malaysia dan mengurangkan dengan ketara lambakan sisa makanan daripada dihantar ke pusat pelupusan sampah.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membeli-Belah dan Taman Tema Sunway, HC Chan berkata pusat membeli-belah itu mula mengurangkan sisa makanan dengan bantuan mesin memproses baja kompos dari MAEKO, sebuah syarikat tempatan yang diletakkan di Sunway Resort Hotel & Spa sejak Julai lepas.

Beliau berkata mesin itu mampu menghasilkan baja kompos yang boleh digunakan untuk tanaman, dan baja itu adalah percuma untuk diambil orang ramai di satu kawasan kecil di lantai B1 dalam pusat membeli belah itu.

“Sunway Pyramid mengumpulkan 2.4 tan sisa makanan sehari dan mencecah 829 tan setahun daripada penyewa kedai menjual makanan dan minuman.

"Kami bergabung dengan Sunway Real Estate Investment Trust (REIT) dan Sunway Resort Hotel and Spa mengumpul sisa makanan daripada 35 penyewa untuk menghasilkan baja kompos yang boleh digunakan dalam masa dua minggu selepas digaul dengan tanah,” katanya semasa pelancaran kempen Food CPR, di sini hari ini.

Kempen itu dilancarkan Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Chan berkata Kempen Food CPR diwujudkan sebagai kempen jangka panjang yang didedikasikan terhadap isu sisa makanan dan akan menyediakan mesin memproses sisa makanan kepada baja kompos sebagai satu kelengkapan kekal di Bandar Sunway.

“Mesin memproses baja kompos di Sunway Resort Hotel & Spa sahaja memproses sejumlah 5.9 tan sisa makanan daripada tiga kluster hotelnya yang terletak di Bandar Sunway, kepada baja kompos.

Pada penghujung 2019, hotel ini menjangka akan memproses baja kompos daripada 20 tan sisa makanan daripada dapurnya dan pada masa ini baja kompos yang dihasilkan digunakan untuk landskap Bandar Sunway dengan rancangan selanjutnya untuk pengagihan dan penggunaan dilancarkan pada tahun 2020,” katanya.

Sementara, Pengarah Pemasaran dan Inovasi Perniagaan Pusat Membeli-belah Sunway, Loo Hoey Theen berkata pada masa ini Sunway Pyramid merupakan pusat membeli-belah pertama di Lembah Klang yang melaksanakan pengurusan sampah seperti itu.

“Sistem ini membantu mengurangkan sampah yang dihantar ke tempat pelupusan selain daripada menjadikan pusat membeli-belah ini bersih dan bebas daripada roden,” katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.