28 Bungkusan 'Teh Cina' Berisi Syabu RM1.4 juta Dirampas


Polis merampas sebanyak 28 bungkusan ‘teh cina’ berisi 28 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu bernilai RM1.4 juta di kawasan inap desa di Yan, dekat sini, Ahad lalu.
Selain itu, enam individu dipercayai ahli Geng 35 yang mendalangi kegiatan berkenaan turut ditahan dalam serbuan bermula jam 1 hingga 4 pagi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata hasil maklumat awam dan risikan pihaknya, terdahulu sebuah kereta dinaiki dua lelaki ditahan di kawasan inap desa berkenaan.
Beliau berkata, berlaku pergelutan sebelum polis berjaya memberkas suspek dan menemui 28 bungkusan ‘teh cina’ di tempat letak kaki penumpang bahagian belakang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati 28 bungkusan itu mengandungi dadah dipercayai jenis syabu. Mereka cuba mengaburi mata polis dengan meletakkan dadah terbabit di dalam plastik bungkusan teh.
“Susulan tangkapan itu, kita menahan dua lagi suspek yang masuk ke kawasan inap desa berkenaan pada jam 2.15 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini.
Zainuddin berkata, dua lagi suspek ditahan selepas masuk ke inap desa itu kira-kira jam 4 pagi, menjadikan jumlah diberkas ialah enam orang berusia 19 hingga 28 tahun.
“Siasatan mendapati suspek berusia 25 dan 27 tahun adalah adik-beradik, selain kesemua mereka adalah ahli Geng 35.
“Saringan air kencing mendapati semua suspek bebas pengaruh dadah, sementara tiga suspek memiliki pelbagai jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati dadah itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dan diambil di Kuala Lumpur.
“Kawalan ketat di Bukit Kayu Hitam menyebabkan dadah itu masuk melalui jalan lain sebelum tiba di Kuala Lumpur dan berpatah balik ke Kedah.
“Kita percaya dadah boleh menampung permintaan 56,000 penagih itu adalah untuk pasaran di sekitar Kuala Muda, Yan, Alor Setar dan Kulim,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek direman selama seminggu hingga 21 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERITA HARIAN 

Powered by Blogger.