Buat laporan palsu dakwa ahli keluarga diculik


Polis percaya remaja dan anak saudaranya yang didakwa diculik sebenarnya melarikan diri dari rumah.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata pihaknya menolak dakwaan kes culik yang tular di media sosial dan dikatakan berlaku di Jalan FAC Matang di sini.

Berdasarkan laporan yang tular itu, Dayang Siti Nur Safiqah Abang Ghazali, 17, dan anak saudaranya, Dayang Nurul Aina Najwa berusia 10 tahun dikatakan dibawa lari dua individu bertopeng dan berpakaian gelap menggunakan sebuah van putih.

“Polis percaya ini adalah laporan palsu. Kita ada sebab untuk mempercayai bahawa kedua-dua mangsa sebenarnya lari dari rumah.

“Usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan sekarang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dev berkata, laporan polis yang dibuat kakak kepada Dayang Siti Nur Safiqah adalah palsu.

“Kami memang menerima laporan itu tetapi kakak mangsa membuat cerita bahawa adik dan anak saudaranya diculik.

“Van putih yang dikatakan digunakan untuk menculik juga tidak wujud,” katanya.

Katanya, membuat laporan palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.