Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 Pahat Sejarah


Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang berlangsung di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, di sini mencipta sejarahnya tersendiri khususnya buat negeri Melaka di mana di sini segalanya tercipta.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, Gobind Singh Deo, Melaka dipilih sebagai lokasi pelancaran kali ini kerana menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara di Banda Hilir, 63 tahun lalu.

"Pemilihan negeri Melaka sebagai lokasi pelancaran adalah berdasarkan faktor sejarah di mana lokasi pengisytiharaan Kemerdekaan Tanah Melayu di Padang Banda Hilir Melaka oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 20 Februari 1956.

"Pada hari berkenaan Almarhum Tuanku, telah mengumumkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957," katanya ketika berucap sempena program, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Gobind turut menekankan perkembangan teknologi yang membawa banyak manfaat dan memberi kesan yang positif namun jika tidak digunakan dengan sebaiknya dan berhemah, ianya boleh membawa kepada kemudaratan.

"Sifat rangkaian media sosial yang tidak mengenal sempadan dan boleh dikongsi dengan jutaan pengguna dalam sekelip mata mampu menyebar luas berita-berita palsu jika disalah guna.

"Ia boleh meracuni pemikiran rakyat hingga tidak dapat membezakan perkara yang benar
dan palsu, dan sekiranya tidak dibendung, ini boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat dan membawa kesan yang buruk kepada
negara," katanya lagi.

Sambutan penuh warna-warni dan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih’ telah disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sambil disaksikan lebih 30,000 pengunjung.

Dalam pada itu, perdana menteri turut melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 dengan sebanyak 62 kenderaan terlibat terdiri daripada 17 pacuan empat roda, 30 motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Permotoran J17 dan 15 buah motosikal Polis Trafik Bukit Aman yang melibatkan seramai 133 orang peserta keseluruhannya.
Powered by Blogger.