Kes bunuh Zulfarhan: 'Saya bersyukur bebas, nak sambung pengajian tertangguh'
Satu-satunya penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dibebaskan daripada pertuduhan terlibat kes kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain berhasrat untuk menyambung pengajian.
Muhammad Akmal Akif Alias, 23 tahun, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan Allahyarham Zulfarhan Osman.
“Saya bersyukur dibebaskan. Saya nak sambung pengajian yang sebelum ini tertangguh,” katanya ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam pada itu, ditanya adakah dia sudah berjumpa dengan bapa Zulfarhan, Muhammad Akmal berkata dia belum bekesempatan dengan keluarga Zulfarhan.
Muhammad Akmal ditemani ibunya tidak dapat menahan sebak lantas memeluk ibunya sambil menangis.
Ibu Muhamad Akmal dalam reaksi spontan kepada media turut menyifatkan anaknya itu teraniaya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan 18 penuntut UPNM yang terlibat dalam kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain untuk membela diri.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azman Abdullah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, hanya seorang tertuduh iaitu Muhammad Akmal dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan.
Post a Comment