Go-Jek bantu anak muda dapat peluang pekerjaan - Syed Saddiq


Keputusan Kabinet meluluskan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Go-Jek, akan memberi peluang untuk anak muda terutamanya 'Mat Motor' untuk mendapatkan pekerjaan, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq dalam satu hantaran video di laman sosial Facebook beliau berkaitan Go-Jek berkata sekiranya dilaksanakan, ia juga dapat membantu masyarakat mendapatkan pengangkutan awam pada kos yang rendah tanpa perlu menghadapi kesesakan trafik yang teruk.

"Kita ikhlas ingin memastikan bahawa golongan 'Mat Motor' mendapat peluang pekerjaan puluhan ribu.

"Pada masa yang sama kita ingin membantu pak cik dan mak cik yang mengendalikan warung yang sedia ada untuk menjual barang mereka melalui servis Go-Jek," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan Go-Jek juga dapat dimanfaatkan oleh para usahawan muda untuk turut sama menjual produk mereka.

"Insya-Allah kita akan terus berusaha keras untuk memastikan anak muda akan dapat pembelaan yang terbaik.

"Ini adalah masa depan Malaysia kita semua," katanya.

Syed Saddiq hari ini telah membentangkan usul dan cadangan kepada Kabinet untuk melaksanakan program itu.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof turut memaklumkan hari ini bahawa jemaah menteru memutuskan agar kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Beliau berkata keputusan telah dibuat supaya Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan melaksanakan tanggungjawab mewujudkan ruang serta undang-undang untuk Go-Jek.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.