Tidak bercadang beli pesawat baharu ganti aset TUDM - PM
Kerajaan tidak bercadang membeli pesawat baharu bagi menggantikan aset udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sudah lama digunakan di negara ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, pesawat pejuang dan helikopter milik TUDM didapati masih mampu beroperasi dalam keadaan baik kerana diselenggara secara rapi sehingga boleh digunakan lebih lama.
“Kita memang berharap dapat membeli pesawat baharu, namun dalam keadaan sekarang, ia tidak dapat dilaksanakan dan negara perlu menunggu lebih lama.
“Pesawat kita masih boleh beroperasi dengan baik. Kita dapat melihat pada acara demonstrasi, ia masih mampu beraksi kerana diselenggara dengan baik,” katanya pada sidang media di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini, hari ini.
Untuk rekod, pesawat paling lama masih digunakan TUDM ialah helikopter Nuri yang berusia lebih 50 tahun, pesawat pejuang Hawk (25 tahun), F/A-18D Hornet (20 tahun) dan Su-30MKM (10 tahun).
Sementara itu, Dr Mahathir ketika merasmikan Pameran Maritim dan Udara Langkawi 2019 (LIMA’19) mengimbau nostalgia pameran berkenaan yang kali pertama dianjurkan pada 1991.
Beliau berkata, LIMA kini berkembang menjadi pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik selepas 28 tahun dilancarkan.
“Edisi ke-15 LIMA mengimbau kembali edisi 1991 apabila saya melancarkan Rangka Tindakan Pembangunan Industri Aeroangkasa Pertama di Malaysia.
“Ia adalah satu langkah berani untuk sesetengah orang dan langkah awal bagi orang lain. Namun apabila melihat apa yang kita ada sebelum ini dengan pembangunan aeroangkasa hari ini, ia adalah langkah penting bagi memastikan Malaysia terus seiring dengan industri,” katanya.
Dr Mahathir berkata, beliau berbangga melihat LIMA masih berjaya menarik penyertaan antarabangsa dan syarikat aeroangkasa dari seluruh dunia.
Kali terakhir Dr Mahathir merasmikan LIMA ialah pada 2003 sebelum meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri keempat. - Berita Harian
Post a Comment