Mula suka-suka, sekarang miliki 85,000 ekor ayam - pemenang Anugerah Utama Usahawan Felda


Bermula hanya dari rasa suka-suka untuk membela ayam lima tahun lepas, anak jati Terengganu, Yusoff Yaacob kini bergelar usahawan berjaya dengan jumlah ternakan sekitar 85,000 ekor dalam satu-satu masa.

Lebih manis, Yusoff, 59, tidak menyangka 'hobi' sebelum ini membolehkan beliau dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Utama Usahawan Felda 2018 dan Anugerah Inovasi Usahawan Felda 2018, yang menjadi kejayaan terbesar bagi dirinya.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan 2019, di Felda Selancar di sini, dan selaku pemenang, Yusoff membawa pulang wang tunai RM15,000, trofi dan sijil.

Mengimbas permulaan membela ayam, Yusoff berkata bermodalkan RM200,000 bagi membina reban, membeli anak ayam dan palet makanan sebelum membuat keputusan untuk lebih serius dengan mendapatkan khidmat nasihat pengurusan Felda.

"Sekarang Alhamdulillah saya mengusahakan tiga reban ayam sehingga memerlukan bantuan daripada dua orang anak. Walaupun sudah agak lama bermain ayam, namun saya masih lagi berjumpa dengan pengurusan Felda untuk mendapatkan khidmat nasihat.

"Saya mahu pastikan perusahaan ini tidak terhenti di pertengahan jalan kerana risiko membela ayam ini besar sama ada dari segi penyakit atau musuh," katanya kepada Bernama semasa ditemui pada sambutan itu.

Yusoff dari Felda Kerteh 6, Terengganu juga mengakui tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk merangkul anugerah itu kerana melihat senarai finalis yang ada 'tidak kurang hebat' sehingga berasakan tersenarai sebagai peserta akhir sudah cukup baik.

"Ini rezeki saya... Saya akan jadikan ini sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha mengembangkan lagi perusahaan ayam daging dengan menggunakan wang kemenangan," katanya.

Sementara itu, pemenang Anugerah Usahawan Harapan Felda, Siti Fadzilah A Rahman, 28, yang mengusahakan perniagaan makanan sejuk beku seperti karipap dan temosa menyifatkan pengiktirafan itu adalah kemenangan ibunya, Rubiah Mohamed, 52, yang menjadi 'guru' kepadanya.

Ibu kepada dua anak yang menetap di Felda Air Tawar 1, Johor berkata minat untuk berniaga bermula sejak berusia belasan tahun kerana sering membantu ibunya yang mengusahakan perniagaan makanan lebih 20 tahun lepas.

"Saya banyak melihat dan membantu ibu... dari situ saya belajar bagaimana untuk menjadi usahawan serta mula meneroka pasaran sehingga kini berjaya menembusi pasaran Singapura. Usia muda juga membolehkan saya lebih kreatif dalam pemasaran termasuk menggunakan media sosial," katanya.

Beliau yang juga pemegang Diploma Penyediaan Makanan dan Kulinari dari Yayasan Pelajaran Johor mengakui beliau juga pernah merasai pengalaman jatuh bangun dunia perniagaan, namun berterima kasih kerana pengurusan Felda bertanya khabar dan membantunya untuk kembali bangkit.

"Saya berpegang kepada tekad dan semangat untuk berjaya. Usia muda bukan alasan untuk saya berputus asa atau mengambil jalan menukar kerjaya meninggalkan usaha yang dimulakan dengan penuh kepayahan," katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.