Tak puas hati bahu dilanggar, jurujual maut dibelasah


Johor Bahru - Gara-gara berlaga bahu, seorang lelaki meninggal dunia akibat dipukul dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Abdullah Tahir, Taman Abad di sini awal pagi semalam.

Mangsa yang bekerja sebagai jurujual berusia 28 tahun itu meninggal dunia pada pukul 2.30 petang di rumahnya yang terletak di Taman Perling di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, ketika kejadian pada pukul 2.30 pagi sekumpulan lelaki dikatakan sedang berhibur di dalam pusat hiburan terbabit sebelum berselisih bahu dengan mangsa.

"Ekoran tidak berpuas hati berlaku pergaduhan antara dua kumpulan sehingga membawa ke luar pusat hiburan terbabit.

"Mangsa meninggal dunia di rumahnya terletak di Taman Peling pada pukul 2.30 petang sebelum hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat kecederaan di kepala akibat dipukul objek tumpul," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Shahurinain berkata, susulan kejadian itu, polis menahan 10 lelaki dan seorang wanita kerana dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan itu.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 26 tahun kini direman sehingga 30 Jun ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Saya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh hubungi hotline Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zamri Shariff di talian 019-4240480,” katanya. - KOSMO ONLINE.
Powered by Blogger.