Neelofa dicalon dalam Influencer Awards 2019 Monaco


Pelakon dan pengacara Neelofa teruja dicalonkan menerusi kategori usahawan untuk anugerah berprestij antarabangsa, Influencer Awards 2019 Monaco yang bakal berlangsung di Monaco pada 5 dan 6 Oktober tahun ini.

Neelofa, 30, berkata, semestinya dia mengidam untuk memenangi anugerah anjuran keluarga Diraja Monaco itu, namun paling penting akan menggunakan peluang itu untuk meluaskan rangkaian namanya.

“Saya tidak menyangka boleh tercalon. Selain dikelolakan oleh keluarga Diraja dan diadakan di luar negara, majlis anugerah ini juga bakal dimeriahkan dengan calon-calon lain dari pelbagai negara.

“Tentulah kemenangan bakal menjadi satu yang besar buat saya. Namun, niat saya ke sana adalah untuk berjumpa dengan individu-individu berpengaruh lain dan mengembangkan rangkaian perniagaan saya.

“Peluang ini bukan datang selalu, jadi saya sangat menghargainya. Saya juga berharap supaya pencalonan ini dapat memberi inspirasi kepada orang Malaysia untuk impian lebih besar dan mencari lebih banyak peluang,” katanya.

Influencer Awards 2019 Monaco adalah anugerah berprestij dan memasuki penganjuran kali kedua selepas diadakan tahun lalu.

Anugerah terbabit direalisasikan Pauline Ducruet iaitu anakanda sulung Puteri Monaco, Stephanie dan beberapa individu lain seperti Lolita Abraham, Maxime Giaccardi dan Thomas Peters.

Influencer Awards 2018 Monaco diadakan pada 7 Oktober tahun lalu di Hotel Le Meridien Beach Plaza, Monaco.

Sebanyak 27 anugerah akan disampaikan pada acara terbabit dan antara pemenangnya sebelum ini ialah penulis blog fesyen dari Perancis, Caroline Receveur (kategori Gaya Hidup) dan jurumekap Kim Kardashian, Mario Dedivanovic (kategori Artis Mekap). - HARIAN METRO
Powered by Blogger.