Guru, pekerja swasta, rugi RM11,800 selepas terperdaya dengan tawaran pinjaman wang yang tak wujud di FB


Seorang guru wanita dan seorang lelaki kerugian RM11,800 selepas ditipu sindiket menawarkan pinjaman wang tidak wujud menerusi laman Facebook serta individu yang menyamar sebagai rakan mangsa untuk meminjam wang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 59 tahun itu membuat laporan polis ditipu sindiket berkenaan semalam selepas guru berkenaan kerugian RM6,800 akibat penipuan sindiket berkenaan.

"Mangsa telah melihat satu iklan di laman Facebook yang menawarkan pinjaman wang dengan kadar segera dan mahu membuat pinjaman sebanyak RM60,000, akibat percayakan agensi pinjaman wang itu guru berkenaan telah membuat bayaran sebanyak RM6,800 untuk wang proses dan kos pinjaman," katanya di sini hari ini.

Katanya wanita itu gagal menghubungi sindiket berkenaan selepas memindahkan bayaran dan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata manakala seorang lagi mangsa iaitu pekerja swasta berusia 29 kerugian kerugian RM5,000 selepas diperdaya anggota sindiket baharu yang telah menyamar sebagai rakan mangsa untuk meminjam wang.

Noorzainy berkata lelaki itu yang yakin dengan penjelasan suspek yang mengaku sebagai rakannya menyerahkan wang secara pindahan ke dalam akaun suspek selepas diyakinkan oleh dia akan membayar semula dalam masa terdekat.

"Namun mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas menghubungi rakannya yang sebenar dan dia mendakwa tidak pernah berhubung dengan lelaki berkenaan untuk meminjam wang. Pekerja swasta tersebut membuat laporan polis semalam," katanya.

Dalam perkembangan lain,katanya polis menahan sembilan lelaki kerana terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dalam dua serbuan di Jalan Teratai, Butterworth dan Bumbong Lima di sini semalam.

"Dalam serbuan pertama di Jalan Teratai, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dan merampas heroin bernilai RM1,500 dipercayai untuk dijual di sekitar kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata manakala serbuan di Bumbong Lima, polis menahan lapan lelaki berusia 17 hingga 39 tahun dan merampas 34.3 gram heroin bernilai RM2,000.

Sumber: Bernama
Powered by Blogger.