Buruh ditahan gara-gara ugut santau polis


Seorang buruh ditahan kerana dipercayai mengugut anggota polis trafik gara-gara tidak berpuas hati dikenakan saman atas kesalahan jalan raya di Jalan Idris, Kuala Kangsar dekat sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Razali Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah yang menjalankan operasi penguatkuasaan disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar.

“Lelaki yang menaiki kenderaan jenis Perodua Kembara itu secara tiba-tiba mengeluarkan perkataan yang biadap dan menakutkan pasukan polis secara jenayah iaitu menyatakan niat untuk menghantar santau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki yang beralamat di Kampung Sayong Tengah juga menyatakan alasan ingin membuang air menjadi punca dia tidak mengenakan tali pinggang keledar sebelum dibawa ke IPD Kuala Kangsar untuk tindakan lanjut.

Katanya pemeriksaan mendapati tiada rekod jenayah lampau membabitkan lelaki berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. - BERNAMA
Powered by Blogger.