KKM berupaya melakukan 16,000 ujian pengesanan COVID-19 sehari pada April


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka berupaya  melakukan 16,000 ujian pengesanan COVID-19 sehari menjelang April berbanding 3,500 ujian pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada masa ini ujian tersebut dikendalikan oleh 18 makmal KKM dan lima makmal swasta.

“Institut Penyelidikan Perubatan akan melatih beberapa makmal lain termasuk di hospital angkatan tentera dan hospital universiti bagi meningkatkan keupayaan Malaysia menjalankan ujian pengesanan COVID-19,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di KKM di sini,  hari ini.

Sementara itu, beliau berkata KKM akan menempatkan jururawat ke negeri-negeri yang mempunyai jumlah pesakit COVID-19 yang tinggi seperti Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Katanya pihaknya juga akan mengambil langkah memanggil doktor pakar dan jururawat yang sudah bersara untuk berkhidmat semula.

Selain itu, KKM kini bekerjasama dengan hospital swasta dalam menangani masalah kesihatan negara.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.