Warga Klang tak perlu lagi bersesak dengan lori kontena selepas ECRL siap


Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula pelaksanaannya dijangka dapat memberi keselesaan kepada penduduk bandar ini yang telah sekian lama berhadapan dengan masalah kesesakan dan kerosakan infrastruktur akibat lori kontena yang keluar masuk ke bandar berkenaan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata ECRL kini yang memberi fokus terhadap segmen muatan kargo diihat bakal memberi keselesaan kepada penduduk kawasan ini yang telah sekian lama bersesak dengan lori kargo yang besar di atas jalan raya.

"Menurut data yang saya peroleh, terdapat kira-kira 300 syarikat pengangkutan beroperasi di sini dengan jumlah lori kontena adalah sebanyak 8,525 buah, yang digunakan untuk mengangkut kargo dari dua buah pelabuhan besar yang beroperasi di sini, Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara.

"Dengan kurangnya lori kontena di sini saya jangka kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara ke sini bakal meningkat, Pelabuhan Klang mempunyai pelbagai kawasan tarikan pelancong antaranya rumah bot, perkampungan nelayan dan orang asli di Pulau Indah dilihat bakal menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana mereka tidak lagi perlu bersesak-sesak dengan banyak lori kontena untuk ke sini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. 

Pada bulan lepas kerajaan mengumumkan ECRL akan disambung semula pada kos yang lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Jajaran baharu ECRL yang dicadangkan itu akan merentasi 20 stesen dari Kota Bahru melalui Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan diteruskan hingga ke Jelebu, Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral serta Pelabuhan Klang.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin berkata segmen muatan kargo akan muncul sebagai sektor yang lebih menguntungkan berbanding aliran penumpang menerusi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berikutan kelebihan laluan darat memacu transaksi penghantaran serta memendekkan tempoh perjalanan secara ketara di antara Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan.

Muatan kargo itu akan menyumbang kira-kira 70 peratus kepada hasil berbanding aliran penumpang sebanyak 30 peratus berikutan masa perjalanan lebih singkat serta kebergantungan lebih tinggi sebagai kaedah atau mod pengangkutan.

Menurut Azmizam lagi dengan kurangnya lori kontena di kawasan berkenaan ia secara tidak langsung akan dapat menjana kembali ekonomi kawasan berkenaan yang sebelum ini suram kerana banyak perniagaan telah berpindah ke kawasan lain berikutan kesesakan jalan raya dan kekurangan pelanggan.

"Jika dilihat di kawasan Pelabuhan Klang banyak kedai telah tutup akibat kekurangan pelanggan, dimana mereka ini tidak mahu bersesak dengan lori kontena yang menggunakan laluan ini, mereka lebih senang pergi ke bandar Klang untuk membeli barangan walaupun agak jauh dari rumah,baru-baru ini sebuah pasaraya besar di sini telah menutup operasi kerana kekurangan pelanggan, kerana mereka lebih senang ke Bukit Tinggi dan bandar Klang untuk membeli barang.

"Jika ekonomi kawasan ini berjaya dipulihkan ia secara tidak langsung akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda dan warga bandar ini," katanya.

Sementara itu seorang pekerja swasta, Saruji Zainal 45 berkata ECRL merupakan satu projek yang bakal memberi manfaat terhadap semua dan kerajaan membuat satu keputusan tepat menyambung ia kembali.

"Dengan ECRL perjalanan dari Kota Bahru ke Pelabuhan Klang dapat dikurangkan ia bakal memberi impak ekonomi yang besar terutamanya kepada negeri pantai timur, saya percaya lebih banyak kilang akan dibuka di sana sebab kini untuk menghantar barang ke Pelabuhan Klang akan jadi lebih cepat dan murah, secara langsung lebih banyak peluang pekerjaan akan dibuka, anak muda dari sana juga tidak lagi perlu berhijrah ke sini semata-mata untuk mencari kerja," katanya. - BERNAMA
Powered by Blogger.