Tiga wanita maut dalam kemalangan di Jalan Pesisir Bintulu-Miri


Tiga wanita maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori trailer dan sebuah kenderaan Fortuner di Jalan Pesisir Bintulu-Miri dekat sini hari ini.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu Azman Johari berkata ketiga-tiga mangsa yang dikenal pasti sebagai Gensa Unggau, 36, Nuai Bakar, 23, dan Lengidi Koling, 57, maut di tempat kejadian yang berlaku pada 1.45 tengah hari itu.

“Setibanya Pasukan Bomba di tempat kejadian, didapati terdapat 10 mangsa yang terlibat menaiki kenderaan Fortuner tersebut, iaitu dua kanak-kanak dan lapan dewasa.

“Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan kesemua tujuh mangsa yang cedera dihantar ke hospital Bintulu,” katanya melalui Pusat Gerakan Operasi Sarawak.

Beliau berkata EMRS Bomba turut menghantar seorang mangsa ke hospital Bintulu manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya. - BERNAMA
Powered by Blogger.