Sandakan akan jadi pusat pengumpulan sarang burung walit di Sabah


Kilang AMG Advance Profitable Enterprise yang terletak di Pusat Perindustrian Majulah Jalan Batu Sapi dekat sini akan dijadikan pusat pengumpulan sarang burung walit di Sabah sebelum dieksport ke China.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong berkata daerah ini sudah dikenal pasti sebagai pusat pengumpulan sarang burung walit melalui syarikat berkenaan.

“Jadi sekarang, saya boleh kata, kilang sudah beroperasi dan juga memang pun sudah memohon lesen eksport ke China. Kita sudah berusaha untuk melengkapkan SOP tetapi tinggal audit datang buat penyenaraian dan pihak negara China juga akan datang melawat sebelum lesen itu diluluskan.

Saya harap selepas sambutan Hari Raya, mungkin dalam masa tiga bulan. Kita akan terus berusaha dan harap dalam tiga bulan akan datang ini boleh terus eksport sarang burung walit ke China,” katanya.

Junz memberi jaminan kementeriannya akan membantu proses pengeluaran lesen berkenaan kepada AMG Advance Profitable Enterprise bagi memastikan pembangunan sektor burung walit di Sabah lebih membangun sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

Sementara itu, Pengarah Urusan AMG Advance Profitable Enterprise Shamsudin Chinu berkata sekiranya pihak syarikat itu memperolehi lesen eksport ke China, pihaknya akan memperbesarkan kilang sedia ada dan menambah jumlah pekerja kepada 1,000 orang.

Katanya ini ekoran permintaan sarang burung walit dari syarikat di China terlalu tinggi yang memerlukan lebih 20 tan metrik sebulan dari dua kilang di Qinzhou, China dan permintaan dalam setahun mencecah hingga 600 tan metrik.

Menurutnya pada masa ini syarikat itu mempunyai 60 pekerja dan pada masa sama bercadang membina 3,000 unit rumah burung walit di seluruh negeri ini berbanding hanya 208 unit rumah pada masa sekarang. - BERNAMA

Powered by Blogger.