Cemburu dipercayai motif ejen insurans dibunuh



Cemburu dipercayai punca seorang gadis yang juga ejen insurans disyaki dibunuh di rumah sewanya di Taman Mahsuri, Jitra, semalam.


Mayat Siti Nor Sufieza Md Sharif, 23, yang lengkap berpakaian ditemui rakan serumahnya dalam keadaan terbaring di ruang tamu kediaman itu, malam tadi.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad, berkata polis sudah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang bekerja sebagai peniaga pasar malam.


"Berdasarkan siasatan, mangsa yang bekerja sebagai ejen insuran di Bandar Darulaman, didapati menyewa rumah teres satu tingkat itu bersama dua rakannya hampir tiga tahun lalu.


"Mangsa tinggal seorang diri di rumah ketika kejadian itu yang hanya disedari rakannya pada jam 9.45 malam tadi selepas mendapati mangsa terbaring di ruang tamu rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sapii berkata, pemeriksaan tidak menemui kesan luka, namun terdapat kesan biru lebam pada bahagian badan mangsa.


"Pemeriksaan di dalam rumah mendapati tiada barang peribadi milik mangsa hilang dan keadaan dalam rumah juga tidak berselerak. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 12.10 tengah malam tadi sebelum menghantar anggotanya ke lokasi.


Kejadian itu dipercayai antara jam 4 petang semalam hingga 9.45 malam tadi dan suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.


--BERITA HARIAN

Powered by Blogger.