Rungutan rakyat mengenai Isu kenaikan bil elektrik akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok


Isu kenaikan mendadak bil elektrik dan rungutan rakyat mengenainya akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal kepenggunaan, beliau menerima banyak aduan melalui kiriman WhatsApp yang meminta penjelasan berhubung kenaikan bil utiliti tersebut.

Saifuddin berkata beliau akan membangkitkan isu itu pada mesyuarat Kabinet esok dan mendengar sendiri penjelasan daripada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin selaku yang menteri bertanggungjawab.

"Kita kena tahu apakah perkara yang menyumbang kepada keadaan itu berlaku, apa puncanya dan jika telah tahu sebab dan punca, sudah tentu kita akan cari jalan penyelesaian," katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Isu kenaikan bil elektrik menjadi tumpuan di media sosial apabila pengguna mengadu bil utiliti mereka melambung tinggi dengan ada di antaranya mencatatkan peningkatan 100 peratus atau sekali ganda. - BERNAMA

Powered by Blogger.