Retrospektif filem adaptasi tempatan


Tradisi adaptasi di negara ini bermula dengan memindahkan cerita-cerita bercorak hikayat, cerita rakyat dan syair yang menunjangi seni bangsawan ke filem. Bangsawan merentasi era emasnya antara tahun 1940-an hingga awal 1950-an di seluruh negara. Filem Melayu pertama, Leila Majnun diterbitkan tahun 1933 dan ditayangkan pada 1934.

Leila Majnun yang popular di pentas bangsawan ini diangkat daripada kisah percintaan dari Timur Tengah, kemudian menjadi antara pementasan popular di Malaya dan Indonesia. Banyak cerita yang popular di pentas bangsawan dipindahkan ke filem dengan mengekalkan ciri-ciri bangsawannya. Antaranya Jula Juli Bintang Tujuh, Yatim Mustafa dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Filem yang sangat berjaya diadaptasi dari karya hikayat ialah Hang Jebat arahan Hussein Hanif. Berdasarkan Hikayat Hang Tuah, filem Hang Jebat muncul sebagai filem hebat mengatasi filem Hang Tuah yang diarahkan oleh pengarah dari India, Phandi Majundar.

Filem telah mengambil alih tempat bangsawan kerana teknologi yang lebih ke depan. Bukan sahaja mengambil cerita malah pelakon juga terdiri daripada orang bangsawan terutama ‘orang muda’ (pelakon muda lelaki dan wanita) yang mempunyai banyak peminat. Bangsawan menjadi jambatan penonton beralih ke filem dan akhirnya bangsawan terus ditinggalkan apabila filem menjadi alat hiburan baru.

Dianggarkan lebih 30 karya sastera tradisional telah diadaptasi ke filem pada era filem Melayu di Singapura. Karya sastera tradisional ini memang hidup dan popular dalam kalangan masyarakat setempat ketika itu apabila diangkat oleh bangsawan.

Selepas adaptasi daripada cerita bangsawan, bermula pula tradisi adaptasi karya dari luar negara antaranya Hamlet, Oedipus Rex, Les Miserables, Arabian Night dan The Thief of Baghdad. Filem Bakti arahan L. Krishnan diadaptasi daripada Les Miserables. Filem Istana Berdarah diadaptasi daripada Hamlet manakala Kalung Kenangan daripada karya klasik Greek, Oedipus Rex. Kedua-dua adaptasi ini dihasilkan oleh penulis lakon layar Ali Aziz dan diarahkan oleh Hussein Hanif.

Namron mengadaptasi naskhah teater William Shakespeare, Julius Ceaser menjadi filem Gedebe. Uwei Haji Saari mengadaptasi novel The Almayer Folly karya Joseph Conrad menjadi filem Hanyut dan cerpen Barn Burning karya William Faulkner menjadi filem Kaki Bakar.

Difahamkan novel fiksyen Melayu pertama yang diadaptasi ke filem ialah Cinta Gadis Rimba karya Harun Aminurashid pada 1958. Filem Cinta Gadis Rimba diarahkan oleh pengarah yang dibawa dari India, L. Krishan.

Ranjau Sepanjang Jalan diadaptasikan oleh Jamil Sulong sekali gus mengarahkan filem ini pada 1984. Novel sama juga diadaptasi oleh Ritny Panh, pengarah filem Kemboja yang menetap di Paris dengan judul Rice People (1994). Filem Rice People berlatarkan sebuah kampung terpencil di Kemboja, menggunakan bahasa dan watak orang Kemboja.

Sebelum itu beberapa novel antaranya Rumah Itu Syurgaku karya Hamzah Hussein, Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad), Langit Petang ( A. Samad Said), Juara ( S. Othman Kelantan), Black Widow (Raja Azmi Raja Sulaiman) dan drama Arus (Anwar Ridhuan).

Novel Juara diadaptasi oleh Uwei Haji Saari menjadi filem Jogho yang berlatarkan masyarakat Melayu Islam di selatan Thailand. Sementara Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman diadaptasi oleh Sabri Yunus dari naskhah teater adaptasi Johan Jaaffar dipersembahkan dalam format filem untuk TV di Astro.

Tradisi adaptasi karya sastera ke filem perlu diperhebatkan. Tetapi ini tidak bermakna semua karya picisan layak diadaptasikan ke televisyen dan filem. Fenomena ‘adaptasi’ karya-karya picisan di stesen televisyen harus dihentikan. Maaf cakap, sesetengah drama adaptasi di televisyen sangat buruk hasilnya. - UTUSAN ONLINE
Powered by Blogger.