Produksi animasi wayang kulit terima pengiktirafan di China


Pengarah tempatan, Yoki Chin mengungguli Projek Filem Animasi Terbaik, Festival Filem Antarabangsa Beijing Ke-9, bulan lalu, sekali gus menerima dana RM600,000 untuk pembikinan produksi animasi fantasi 3D, King Of Shadows.

Yoki berkata, produksi yang bakal diterbitkan FilmPoint itu mengetepikan 29 pesaing lain, malah turut melakar kejayaan apabila membawa pulang satu lagi pengiktirafan iaitu Blue Ocean Creative.

“Daripada 100 penyertaan yang dihantar, hanya 29 filem terpilih dan sudah tentu, tidak mudah untuk menambat hati juri.

“Menerusi King Of Shadows, kami berusaha mengetengahkan seni tradisional iaitu wayang kulit untuk memperkenalkan keunikan budaya tempatan di mata dunia.

“Pengiktirafan ini memberikan kami lebih semangat untuk menyiapkan pembikinan filem yang dijangka ditayangkan tahun depan,” katanya.

Yoki berkata, pembikinan filem itu turut mendapat sokongan kumpulan pengeluar filem terbesar di China iaitu China Film Group.

“Pada awalnya, bajet pembikinan filem ini hanya RM20 juta, tetapi kini meningkat kepada RM60 juta. Menerusi kerjasama itu juga, filem ini juga akan ditayangkan di negara yang memiliki 60 kali ganda bilangan pawagam itu,” katanya.

Pada masa sama, Yoki dan penerbit filem itu, Han Chung Huat turut memberikan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang banyak menyokong penghasilan filem itu.

“Saya sangat berterima kasih kepada FINAS, terutama Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Pengerusinya, Datuk Hans Isaac.

“Sebagai individu yang berpengalaman dalam penerbitan filem, mereka faham apa yang kami perlukan untuk membantu industri. Kami berharap usaha ini akan membawa King Of Shadows ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Powered by Blogger.