COVID-19: Individu kuarantin di rumah perlu bantu keluarga bebas jangkitan


Individu yang pulang dari luar negara dan perlu menjalani kuarantin di rumah, bertanggungjawab memastikan ahli keluarga mereka bebas dari jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata individu terbabit memmag dinasihatkan untuk mengasingkan diri dalam bilik, di rumah masing-masing.

Beliau berkata, jika individu itu mengalami gejala dalam tempoh 14 hari kuarantin, mereka boleh menghubungi Kementerian Kesihatan untuk membolehkan saringan dijalankan tanpa perlu menunggu hingga hari ke-13 seperti kelaziman.

"Jika mereka didapati positif atau pada bila-bila masa dalam tempoh kuarantin 14 hari itu mereka bergejala, individu terbabit boleh menghubungi kami dan kami akan menjalankan ujian saringan, tanpa menunggu hari ke-13.

"Jika mereka didapati positif, semua ahli keluarga akan dikenakan ujian saringan," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kaedah itu berbeza dengan negara lain yang membenarkan individu dikuarantin di rumah walaupun disahkan positif, bergejala atau tidak bergejala berbanding di negara ini.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan ialah menempatkan pesakit di hospital. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.