Nurul Huda dilantik timbalan CDM II ke Sukan Sea Filipina


Bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah dilantik sebagai Timbalan Chef de Mission (CDM) II ke Sukan SEA 2019, sekali gus melengkapkan senarai dua timbalan CDM untuk membantu tugas ketua kontinjen Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Filipina, nanti.

Pelantikan Olahragawati Sukan SEA 1989 itu diumumkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma MOM, di sini hari ini.

MOM sebelum ini mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli sebagai Timbalan CDM I yang akan membantu kontinjen negara sepanjang penganjuran temasya itu yang dijadualkan membuka tirai pada 30 Nov ini.

Mohamad Norza menyifatkan gandingan ketiga-tiga individu itu adalah gabungan mantap memandangkan mereka mempunyai latar belakang menarik, selari dengan cabaran bakal Malaysia harungi pada temasya dwitahunan itu.

"Megat merupakan Setiausaha Agung Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan bekas Naib Presiden MOM, beliau ada pengetahuan luas dalam pentadbiran sukan. Beliau akan dibantu Ahmad Faedzal yang dicadangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) manakala Nurul Huda adalah bekas atlet begitu berjaya di Sukan SEA sebelum ini.

"Pelantikan ini memerlukan perancangan teliti dan bila cakap tentang Sukan SEA, ia melibatkan pendedahan di mana atlet muda memerlukan pemimpin yang memahami jiwa dan aspirasi mereka," katanya.

Nurul Huda adalah inspirasi terbaik kepada barisan atlet negara dengan rekod pencapaian pernah memenangi 23 pingat emas Sukan SEA, selain atlet Malaysia pertama memenangi pingat di Sukan Asia dan Kejohanan Renang Asia.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad dipilih bagi menganggotai Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Sukan SEA Filipina.

Mazlan akan menggantikan Tan Sri Dr M. Jegathesan yang tidak dapat memberi komitmen kerana lebih banyak berada di luar negara.

Jawatankuasa Pemilihan itu juga terdiri daripada Ahmad Faedzal, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail, bekas Setiausaha Agung MOM Datuk Sieh Kok Chi dan Mohamad Norza sendiri. - BERNAMA
Powered by Blogger.