Kerajaan sedang pinda undang-undang perburuhan


Kerajaan sedang dalam proses meminda beberapa undang-undang perburuhan bagi memastikan pekerja mengetahui hak mereka selaras dengan sasaran peningkatan satu juta keanggotaan pekerja dalam kesatuan sekerja menjelang 2020.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pindaan yang sedang dibuat Kementerian Sumber Manusia itu antaranya melibatkan Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kerja 1955.

Katanya kerajaan sedar betapa pentingnya usaha-usaha penambahbaikan undang-undang perburuhan dan proses guna tenaga di negara ini bagi mewujudkan mekanisma terbaik dalam menyelesaikan pertikaian majikan-pekerja dalam keadaan yang harmoni.

"Secara umum undang-undang perburuhan yang dalam proses pindaan meliputi standard minimum pekerjaan, kesatuan sekerja, perhubungan perusahaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Tahun 2019, yang bertemakan “Pekerja Amanah, Aspirasi Negara” di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata pindaan tersebut dibuat bertujuan untuk menambah baik kebajikan dan perlindungan sosial pekerja tanpa menafikan peranan dan sumbangan para majikan dalam pembangunan negara.

Kementerian Sumber Manusia juga telah meminda Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 pada tahun 2017 dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 pada 2018, katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata proses meminda undang-undang perburuhan itu seperti Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Kerja sudah di peringkat akhir dan dijangka dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen Jun ini.

"Pindaan beberapa undang-undang perburuhan ini akan memantapkan sektor pekerjaan dan memberi perlindungan menyeluruh kepada pekerja di negara ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja itu.

Kula Segaran berkata pindaan akta itu adalah penting untuk mengukuhkan dan memberi perlindungan yang lebih kepada pekerja dan pada masa yang sama menggalakkan produktiviti.

“Kami mahu menyediakan pekerja kita untuk menghadapi Industri 4.0 dan juga mekanisme ke arah itu. Kementerian akan memberikan usaha besar untuk menggalakkan Industri 4.0 kerana ia bukan sahaja meningkatkan produktiviti tetapi juga meningkatkan upah,” katanya.

Powered by Blogger.