Kerajaan tetap prihatin kos sara hidup rakyat


Kerajaan memberi penekanan isu kos sara hidup rakyat dengan mengambil pendekatan tertentu selepas memasuki tahun kedua mentadbir negara.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata kerajaan menyedari isu berkenaan antara yang diperkatakan semua pihak.

“Bila bercakap isu kos sara hidup ia membabitkan komponen pendapatan dan perbelanjaan, dan apa yang menyebabkan kos sara hidup terasa, apabila perbelanjaan meningkat, namun gaji tidak berlaku kenaikan.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sering tekankan, kita menggalakkan khususnya majikan memberi keutamaan kepada pendapatan pekerja supaya mendapat manfaat dari pembangunan negara.

“Pada masa sama, usaha sudah dibuat kerajaan bagi menurunkan kos sara hidup, termasuk usaha penguatkuasaan dan dari struktur ekonomi dan bekalan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Setahun Pakatan Harapan Memerintah Negara dan Majlis Berbuka Puasa di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, selain itu kerajaan sedang melihat beberapa sektor untuk memastikan harga barangan keperluan untuk keperluan rakyat dapat dikawal dan diturunkan.

Katanya, jika dilihat banyak yang dilaksanakan kerajaan untuk membantu kos sara hidup rakyat termasuk kad my100.

“Usaha ini akan dilakukan secara berterusan demi kebaikan rakyat,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.