Calon DAP PRK Sandakan menang majoriti 11,521


Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan hari ini dengan majoriti lebih besar.

Wong, 30, anak kepada penyandang kerusi parlimen itu mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, menang dengan majoriti 11,521 undi menewaskan empat pencabarnya iaitu calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin, 63, serta tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, 65, Chia Siew Yung, 46, dan Sulaiman Samat, 36.

Wong memperoleh 16,012 undi, Tsen yang juga Ketua Bahagian PBS Elopura mendapat 4,491 undi manakala Hamzah (788 undi), Chia (178 undi) dan Sulaiman (126 undi).

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Hamsan Awang Supain di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan, pada jam 9 malam ini.

Kemenangan Wong itu dapat mempertahankan kemenangan DAP di kerusi parlimen itu yang dimenangi mendiang bapanya sejak 2013 pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Jumlah majoriti undi diraih Vivian Wong sebanyak 11,521 meningkat 1,423 undi berbanding yang diperoleh mendiang bapanya Stephen Wong sebanyak 10,098 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

PRK berkenaan menyaksikan seramai 21,595 pengundi atau 54.44 peratus keluar mengundi di 19 pusat mengundi membabitkan 90 saluran.

Wong dalam sidang media selepas pengumuman itu berterima kasih kepada pengundi Parlimen Sandakan kerana memberi kepercayaan kepadanya.

"Terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) dan saya terharu dengan dedikasi beliau membantu saya pada kempen PRK Sandakan ini dan kepada beberapa menteri negeri serta persekutuan.

"Terima kasih kepada keluarga saya terutama ibu saya (Datin Florence Chong Mee Fook) yang menyokong saya sebagai ahli politik dan menjadi penyokong ketika bapa menjadi ahli politik," katanya.

Menurutnya kemenangan ini adalah untuk mendiang bapa dan perkara pertama akan dibuat esok adalah menziarahi perkuburan bapanya.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 jumlah pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, lima orang pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 51 peratus merangkumi pengundi Cina dan 45 peratus pengundi Bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Seramai 19,857 pengundi atau 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita berjumlah 20,274 atau 50.52 peratus.

PRK Parlimen Sandakan merupakan PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei tahun lepas, dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Stephen Wong akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas. - BERNAMA 
Powered by Blogger.