X-Break 15 minit di setiap kementerian


Kabinet bersetuju supaya setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman selama 15 minit sehari bagi membudayakan gaya hidup sihat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata program dikenali ‘X-Break’ itu memerlukan setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman sama ada pada sebelah pagi atau petang untuk kakitangan mereka.

“Cadangan itu sudah dipersetujui oleh semua Jemaah Menteri baru-baru ini, kami cadangkan 15 minit setiap hari sama ada pagi atau petang (untuk bersenam) tetapi ia fleksibel mengikut kesesuaian setiap kementerian.

“Sekarang ini memang ada kementerian yang sudah lakukan, tetapi kami akan keluarkan satu garis panduan buat semua yang terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen hidup aktif ‘Big WALK’ di sini, hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) esok untuk merangka satu Pekeliling bagi diedarkan kepada setiap kementerian.

Tahun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mencadangkan supaya pejabat kerajaan mahupun swasta memperuntukkan masa selama 15 minit melakukan aktiviti senaman.

Perdana Menteri berkata kakitangan boleh berbuat demikian dengan berehat seketika sekitar jam 11 pagi di luar pejabat berhawa dingin.

Terdahulu kira-kira 3,000 peserta bersenam dan berjalan sejauh tiga kilometer pada program Big WALK di ibu kota hari ini dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat. – BERNAMA
Powered by Blogger.