Wan Azizah kutuk serangan di Sri Lanka


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengutuk sekeras-kerasnya serangan keganasan yang meragut lebih 130 nyawa di Sri Lanka hari ini.

Lebih-lebih lagi kata beliau, serangan dilakukan ketika sambutan Hari Easter yang diraikan secara meriah oleh penganut Kristian.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan keganasan yang membunuh lebih 130 orang di Sri Lanka hari ini. Hari Easter merupakan hari yang menggembirakan bagi penganut Kristian dan serangan yang dilakukan pada hari sedemikian, malah pada mana-mana hari sekalipun, sememangnya dikecam.

“Doa kami untuk semua rakyat Sri Lanka ketika menghadapi tempoh sukar ini,” katanya dalam hantaran menerusi laman Twitter beliau hari ini.

Satu siri letupan menggegarkan beberapa lokasi di Colombo, ibu negara Sri Lanka pada 8.30 pagi waktu tempatan. Serangan ke atas Kochikade Church, Katuwapitiya Church, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan St Barnabas Church in Batticaloa itu mengorbankan lebih 130 orang termasuk sembilan warga asing.

Terdahulu dalam kenyataannya hari ini, Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan berharap mereka yang bertanggungjawah terhadap jenayah kejam ini akan dihadapkan ke muka pengadilan. Ingatan dan doa kami untuk kesemua mangsa dan keluarga mereka,” demikian menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut menasihati rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas agar berhati-hati serta memantau perkembangan terkini daripada laporan berita dan juga pihak berkuasa tempatan.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo sedang memantau rapi situasi dan mereka yang memerlukan bantuan atau maklumat lanjut boleh ke 45, Rosmead Place Colombo 07, Sri Lanka. -- BERNAMA

Powered by Blogger.