Usul bahas status Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan dibentang


Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan bersidang selama lapan hari bermula esok akan menyaksikan pembentangan usul untuk membahaskan status Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata dengan Semenanjung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Speaker Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata satu lagi usul yang akan dibentangkan untuk dibahaskan ialah berhubung pemindahan pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dari Kuching ke Kota Kinabalu.

"Dua rang undang-undang - Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2018), 2019 serta Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019), 2019 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pra-majlis di Ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.

Asfia berkata sebanyak 379 soalan telah diterima daripada 49 anggota dewan undangan negeri dengan kebanyakan soalan tertumpu kepada Jabatan Ketua Menteri.

Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud akan merasmikan pembukaan suku keempat persidangan Dewan Undangan Negeri ke-18 esok.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.