Teknologi 5G menjelang 2021/2022 - MCMC
Teknologi 5G bakal meningkatkan kualiti hidup rakyat serta menjana pertumbuhan ekonomi negara, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ketua Pengawai Sektor Digital, Gerard Lim, berkata rakyat berpeluang menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi dengan lebih berkesan berikutan kemudahan teknologi 5G yang menawarkan kelajuan data yang lebih pantas, sekali gus memberi nilai tambah kepada taraf hidup mereka.
"Industri vertikal turut dapat memanfaatkan teknologi 5G yang dijangka memberi impak positif bukan sahaja kepada ekonomi negara, malah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat," kata Lim dalam kenyataan di sini hari ini.
Antara industri vertikal adalah penjagaan kesihatan, media dan hiburan, bandar pintar, automotif, pengilangan, keselamatan awam, pertanian dan pendidikan.
Sambil memberi contoh, Lim berkata kereta dan bas pandu sendiri yang tidak pernah terlintas akan menjadi kenyataan dahulu, kini boleh direalisasikan.
"Semuanya dapat dijayakan dengan adanya gabungan teknologi 5G bersama sensor, kamera, radar dan kecerdasan buatan yang membolehkan kenderaan bergerak sendiri tanpa kawalan manusia," katanya.
Dalam aspek pendidikan, Lim berkata aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah akan menjadi lebih interaktif dengan penggunaan simulasi, kelas realiti maya dan kampus Internet-of-things (IoT) pintar.
Lim berkata teknologi 5G hanya akan dilancarkan dan digunakan secara komersial di negara ini menjelang 2021 atau 2022.
"Ini adalah berdasarkan kepada beberapa perkara yang perlu ditambah baik seperti aspek standard, kawal selia dan rangkaian yang perlu dinaik taraf," katanya.
Post a Comment