Parlimen: Majlis media boleh kenakan tindakan terhadap media yang kelirukan rakyat
Media yang melaporkan berita berkaitan isu rakyat yang mengelirukan boleh dikenakan tindakan oleh Majlis Media yang akan diwujudkan tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.
Beliau berkata dalam kes tertentu, tindakan juga boleh diambil di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hasutan 1948, Akta Media Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hakcipta 1987.
“Kementerian juga melalui Jabatan Penerangan membuat identifikasi media melalui pengeluaran Kad Perakuan Media yang wajib ditunjukkan bagi membuat liputan majlis dan program rasmi Kerajaan.
“Melalui penguatkuasaan Kad Perakuan Media ini, dapat memastikan pelaporan berhubung kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Kerajaan disampaikan kepada rakyat secara tepat dan benar. Dari tahun 2018 hingga kini, sebanyak 4,419 Kad Perakuan Media telah dikeluarkan," katanya dalam sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Zahidi Zainul Abidin (BN-Padang Besar) mengenai tindakan kementerian dalam memastikan kenyataan yang dikeluarkan kerajaan dan menteri berhubung isu rakyat tidak dikelirukan oleh media.
Eddin Syazlee turut menyeru pengamal media untuk mengamalkan etika kewartawanan berteraskan Rukun Negara bagi memastikan penyebaran maklumat yang mengelirukan dan tidak sahih dapat dibendung.
“KKMM melalui jabatan dan agensi di bawahnya sentiasa mengharapkan media mematuhi etika kewartawanan dalam menghasilkan berita. Etika kewartawanan jika dipatuhi dapat meningkatkan tahap profesionalisme dan mengelak kejadian laporan media yang mengelirukan daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan menteri,” tambahnya. -- BERNAMA
Post a Comment