56 usahawan wanita asnaf terima bantuan RM70,000


Seramai 56 usahawan wanita asnaf di Kedah yang berdaftar dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerima bantuan berjumlah hampir RM70,000 daripada Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) melalui program Amal Musa'adah Bank Islam, hari ini.

Program Amal Musa’adah yang diperkenalkan pada awal 2017 itu merupakan kerjasama antara Bank Islam dan AIM iaitu sebuah organisasi kredit mikro terbesar negara yang menyediakan perkhidmatan pembiayaan, pendidikan dan latihan kepada masyarakat kurang berkemampuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed berkata Musa'adah yang bermaksud 'bantuan' itu akan disalurkan dalam bentuk peralatan perniagaan antaranya mesin jahit, peralatan memasak dan peti sejuk kepada semua penerima itu bagi memastikan kelangsungan perniagaan yang dijalankan mereka.

“Program Amal Musa’adah ini adalah salah satu usaha kita untuk memberi tumpuan kepada golongan usahawan wanita asnaf yang membantu menyumbang kepada ekonomi serta membantu kepada peningkatan taraf hidup masyarakat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Program Amal Musa’adah di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Muazzam turut menyerahkan zakat perniagaan Bank Islam hampir RM425,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Syeikh Zakaria Othman.

Dalam pada itu, beliau berkata Bank Islam juga akan berkolaborasi bersama LKNZ untuk melancarkan produk pembiayaan perumahan bagi membantu golongan asnaf di Kedah dan perkara itu sedang dalam peringkat perbincangan.

“Kita akan teruskan usaha-usaha seperti ini kerana ia merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Bank Islam dan akan cuba bekerjasama dengan majlis-majlis agama negeri yang lain untuk pastikan semua golongan asnaf dibantu,” katanya. -- BERNAMA
Powered by Blogger.