Raja Permaisuri Agong berkenan dilantik sebagai Canselor UCYP


Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dilantik sebagai Canselor pertama Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) pada Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen UCYP 2019 di Bukit Gambang Resort City, di sini, hari ini.

Tunku Azizah Aminah Maimunah bertitah, baginda bertuah apabila diamanahkan sebagai Canselor UCYP yang juga kolej universiti terkemuka di negeri ini yang wujud sejak 27 tahun lalu.

Sejak kolej berkenaan ditubuhkan, titahnya, UCYP berjaya menghasilkan kira-kira 30,000 graduan dalam pelbagai bidang pengajian dan mereka kini bekerja dengan agensi kerajaan dan swasta selain turut menjadi usahawan berjaya.

“Beta berharap UCYP dapat terus mendidik pelajar yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana termasuk masyarakat Orang Asli untuk menjadi graduan kompeten dan mendapat permintaan tinggi di pasaran kerja seterusnya mampu membantu keluarga.

“Beta juga mencadangkan UCYP mewujudkan tabung atau dana pendidikan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan,” titahnya.

Tunku Azizah Aminah Maimunah juga bertitah, agensi kerajaan dan swasta termasuk individu diharap dapat menyumbang kepada tabung berkenaan sebagai usaha pembangunan pendidikan generasi masa hadapan.

Baginda juga bertitah, bekas pelajar diharap dapat menyokong kelab alumni UCYP yang banyak banyak berjasa kepada mereka, bantuan kewangan selain pemikiran diperlukan bagi memastikan UCYP dapat terus maju dan pesar seterusnya kecemerlangan universiti terus terpelihara.

“Beta ingin melihat UCYP menjadi universiti yang unggul seterusnya memberi pendidikan berkualiti tinggi seterusnya graduan dikeluarkan menjadi rebutan kerana kelayakan diraih relevan dengan keperluan industri dan masyarakat,” titahnya.

Yang turut hadir, Naib Canselor UCYP Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin.

Pada majlis berkenaan turut diadakan pengurniaan watikah lantikan Pro Canselor UCYP kepada Tengku Amir Nasir Ibrahim Shah Ibni Al Sultan Ahmad Ri`ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seramai 450 graduan menerima diploma, ijazah dan ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang pengajian. - Berita Harian
Powered by Blogger.