Jumlah pampasan untuk mangsa pencemaran bahan kimia Sungai Kim Kim belum diputuskan


Kerajaan belum memutuskan jumlah pampasan kepada mangsa pencemaran bahan kimia Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pada masa ini fokus kerajaan ialah memberikan perkhidmatan kesihatan yang baik kepada mangsa, khususnya rawatan segera kepada penduduk.

Menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN UMNO-Paya Besar) pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Dr Wan Azizah berkata selain itu, kerajaan juga menumpukan kepada usaha pencegahan supaya kejadian sama tidak berulang.

Mohd Shahar ingin tahu jumlah pampasan kepada mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, sama ada pada kadar sama dengan wang ehsan mangsa banjir sebanyak RM500 atau sebaliknya.

“Berhubung kejadian di Sungai Kim Kim, setakat ini apa yang kerajaan ambil tanggungjawab adalah memberikan mangsa rawatan kesihatan yang diperlukan sebaik mungkin dan untuk pampasan belum diputuskan,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Rosol Wahid (PH BERSATU-Hulu Terengganu), Dr Wan Azizah berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM8.78 juta untuk menangani banjir di Pantai Timur sepanjang musim Monsun Timur Laut, November hingga Januari lalu.

Beliau berkata jumlah peruntukan itu termasuk menyediakan peruntukan sebanyak RM5.6 juta untuk pusat pemindahan mangsa banjir di tiga negeri di Pantai Timur antara November 2018 hingga Januari 2019.

Timbalan Perdana Menteri berkata jumlah itu disalurkan sejak November tahun lalu hingga 7 Mac lalu.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin untuk menangani mangsa bencana alam itu,” katanya. - Berita Harian
Powered by Blogger.