Perasmian LIMA 19 menakjubkan


Aksi pembukaan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) nyata menakjubkan apabila 29 pesawat berjaya menampilkan aksi aerobatik yang memukau lebih 2,000 penonton.

Majlis yang diadakan di landasan utama Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) itu dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad serta dihadiri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Aksi pembukaan hari ini, menampilkan formasi udara serta persembahan aerobatik juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama jet pejuang F/A-18D Hornet, Sukhoi 30MKM, Hawk 108/208, Airbus A400M, Pilatus dan helikopter Nuri.

Kakitangan syarikat penerbangan, Sabarudin Mohd Ali, 44, berkata perasmian LIMA’19 dianggap terbaik pernah ditampilkan berbanding pameran sebelum ini.

“Perasmian yang hebat, malah aksi ‘muslihat udara’ oleh jet pejuang dan helikopter tak ubah seperti kelkatu keluar sarang.


“Saya kagum melihat aksi ‘kamikaze’ juruterbang jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM dan F/A-18D yang terbang rendah sambil melakukan ‘manuver’,” katanya ketika ditemui.

Kakitangan syarikat telekomunikasi, Safarina Abdul Keder, 39, turut mengakui perasmian LIMA’19 berjaya memukau tetamu yang hadir dengan aksi luar biasa juruterbang TUDM.

“Seolah-olah dalam medan perang apabila jet pejuang terbang rendah dan bertali arus, malah aksi akhir disertai letupan dan kepulan asap menjulang memang menarik.

“Aksi pesawat pengangkut A400M bersama lapan pesawat pengiring turut menarik perhatian ramai tetamu yang menyaksikan perasmian LIMA kali ini,” katanya.
Powered by Blogger.