Laporan penuh 5G diketahui tahun ini - Gobind
Laporan penuh ujian rintis rangkaian kemudahan teknologi generasi kelima ( 5G) akan diketahui pada suku ke empat tahun ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata buat masa ini satu pasukan khas ditubuhkan membabitkan sektor kerajaan dan swasta sedang mengenal pasti masalah serta cadangan sesuai berkaitan perkhidmatan berkenaan.
Katanya, dalam usaha itu Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) turut menetapkan sasaran perkhidmatan internet kelajuan tinggi Gigabit untuk kawasan industri berimpak tinggi dan strategik yang terpilih menjelang 2020, dan di semua ibu negeri pada tahun 2023.
“Ini adalah untuk memastikan bahawa kawasan penggunaan tinggi untuk 5G akan bersedia untuk penempatan rangkaian apabila piawaian standard dimuktamadkan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama bertajuk ‘Memandu Ekonomi Digital Malaysia’ sempena majlis perasmian Persidangan Inovasi Digital di sini, hari ini.
Persidangan bertema ‘Membawa Malaysia Ke Arah Ekonomi Digital’ itu dianjurkan British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC). Yang turut hadir, Pengerusi BMCC, Andrew Sill.
5G adalah teknologi baharu yang bakal menggantikan teknologi 4G, mula diperkenalkan pada 2009 dengan 100 kali kali lebih laju daripada 4G.
Ujian rintis perkhidmatan bermula April hingga Oktober tahun ini membabitkan sekitar Cyberjaya dan Putrajaya.
Gobind berkata penerimaan digital meluas, akan membawa kepada transformasi dalam pelbagai sektor tradisional seperti pertanian, pendidikan dan kesihatan.
Lebih penting lagi, beliau ingin memastikan pembabitan digital dalam pelan pembangunan masyarakat luar bandar turut dimanfaatkan oleh warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
Gobind dalam ucapannya turut menggalakkan syarikat industri kecil dan sederhana (SME) mengguna pakai teknologi digital supaya mereka dapat menyertai ekosistem digital dunia.
“SME bukan saja tulang belakang ekonomi negara, tetapi ia turut mewakili lebih daripada 95 peratus pertubuhan perniagaan negara ini.
“Ia menyumbang kepada anggaran 37.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 66 peratus tawaran pekerjaan negara dan hampir 17.3 peratus daripada eksport Malaysia,” katanya. - Berita Harian
Post a Comment