Jalan TAR akan ditutup pada hujung minggu bermula 1 April


Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) di ibu negara akan ditutup kepada semua kenderaan persendirian pada hujung minggu dan cuti umum bagi tempoh percubaan selama sebulan bermula 1 April ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, berkata jalan itu akan ditutup dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.

“Ketika jalan ini ditutup, hanya bas, teksi, kenderaan bomba, ambulans, polis dan kenderaan penguatkuasaan dibenar menggunakannya.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhasrat menjadikan Jalan TAR sebagai kawasan pejalan kaki. Hasrat ini sebahagian daripada projek ‘River Of Life’.

“Kawasan yang terbabit sebagai kawasan pejalan kaki bermula dari Jalan Isfahan (bersebelahan SOGO) sehingga Jalan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khalid berkata, DBKL juga akan memastikan Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Lorong Gombak (di kiri dan kanan Jalan TAR) dikosongkan sepenuhnya dari penjaja dan halangan.

“Ia bertujuan membolehkan kerja pemunggahan dan penghantaran bekalan dapat berjalan seperti biasa. Penjaja yang sah di kawasan terbabit akan dipindahkan ke kawasan lain sekitar Jalan TAR selepas kios dibina untuk kegunaan mereka.

“Dalam usaha membersihkan Lorong TAR, pasar malam dan bazar Ramadan di situ akan dipindahkan ke lokasi baharu yang akan diumumkan selepas ini,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam membuat keputusan itu khasnya Persatuan Peniaga Batu Road (Barra) dan Persatuan Peniaga Jalan Masjid India (MIBA), peniaga dan orang ramai.

“Saya yakin keputusan ini akan memberikan kebaikan untuk semua serta memajukan lagi kawasan Jalan TAR sebagaimana majunya kawasan segi tiga emas di Bukit Bintang,” katanya. - Berita Harian

Powered by Blogger.