MAS mungkin akan ditutup
Perdana Menteri berkata, pertimbangan itu dibuat kerana kerugian dihadapi Malaysia Airlines sejak beberapa tahun lalu yang menyumbang sebahagian besar susut nilai Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), adalah perkara serius.
Katanya, beberapa pilihan lain yang boleh diambil kerajaan dalam isu membelenggu Malaysia Airlines termasuk menjual atau menyuntik dana kepada syarikat itu.
“Saya rasa ini adalah satu perkara yang serius untuk menutup syarikat penerbangan negara.
“Kamu ingat lagi kajian sebelum ini mengenai sama ada kita perlu menutup, menjual atau menyuntik dana kepada syarikat ini? Semua ini terbuka untuk diputuskan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media baru-baru ini yang memetik penganalisis penerbangan yang berpandangan Malaysia Airlines perlu ditutup kerana mengalami kerugian sejak diswastakan pada 2014.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika mengulas isu sama, berkata pengurusan Khazanah dan Malaysia Airlines maklum dengan opsyen menutup, menjual atau menyuntik dana kepada syarikat penerbangan itu.
Katanya, pengurusan kedua-dua syarikat itu memandang serius dan akan memutuskan perkara berkenaan, namun pada masa sama tetap komited memulihkan Malaysia Airlines.
“Sekarang kita ada enam pesawat A380 yang tersadai sejak beberapa tahun lalu dan harapnya kita dapat menemui penyelesaian untuk menyelesaikan masalah ini.
“Satu cara adalah menerusi syarikat penerbangan Amal yang dilancarkan baru-baru ini, dengan Malaysia Airlines menyediakan perkhidmatan baharu membawa jemaah haji dan umrah dari Kuala Lumpur ke Madinah.
“Saya harap kita dapat meneroka pasaran baharu khususnya dari pada Indonesia dan Thailand untuk menyokong projek ini,” katanya. - Berita Harian
Post a Comment