KPDNHEP pantau premis perniagaan di Langkawi sempena LIMA 19
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau semua premis perniagaan di Langkawi sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) bagi menangani kenaikan harga secara tidak terkawal.
Ketua Setiausahanya, Datuk Muez Abd Aziz, berkata LIMA’19 yang berlangsung bermula esok hingga 30 Mac itu akan menyumbang kepada peningkatan jumlah kehadiran pelancong dari luar negara dan tempatan.
“Justeru itu KPDNHEP berperanan dalam memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan dan makanan secara tidak terkawal semasa berlangsungnya LIMA’19.
“KPDNHEP melalui Kedah akan melaksanakan operasi dan pemantauan ke atas setiap premis perniagaan di Langkawi untuk menangani kenaikan harga yang tidak berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, katanya tindakan pelaksanaan operasi dan pemantauan dijalankan melalui pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua lokasi perniagaan di sekitar Langkawi dengan memberi tumpuan kepada tindakan terhadap ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.
“Antaranya termasuk perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan penandaan harga bagi barangan jualan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.
“Selain itu petunjuk atau gambaran yang mengelirukan mengenai harga (Seksyen 14 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999) dan pengeluaran resit atau invois belian jika diminta oleh pengguna di bawah Seksyen 140 Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Ia juga termasuk Dasar Harga Terangkum di bawah Seksyen 10B Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 di baca bersama dengan Seksyen 15(2) Akta Perihal Dagangan 2011 pempameran dan paparan harga akhir yang perlu dibayar oleh pengguna untuk memperoleh sesuatu barangan atau perkhidmatan bagi restoran dan perhotelan.
“Menggunakan, membekalkan atau menawar untuk membekal, mendedahkan untuk pembekalan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan barangan perihal barang palsu (barang tiruan) mengikut seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Beliau berkata KPDNHEP turut menyediakan pelbagai saluran aduan iaitu menerusi portal aduan KPDNHEP https://e-aduan.kpdnhep.gov.my; emel e-aduan@kpdnkk.gov.my; pusat panggilan KPDNHEP 1800886800; aplikasi telefon pintar, EzADU KPDNHEP dan Pusat Informasi dan Gerakan Strategik (PIGOS) 0388826088/6245.
“Selain itu, aduan juga boleh dibuat melalui aplikasi Whatsapp KPDNHEP 0192794317; lapor atau hadir sendiri ke pejabat KPDNHEP berhampiran; menghantar surat rasmi ke pejabat KPDNHEP berdekatan dan bilik gerakan KPDNHEP negeri.
“Sebarang pertanyaan dan aduan berhubung harga serta aktiviti pencatutan boleh disalurkan kepada kementerian dengan mengemukakan bersama keterangan aduan yang jelas, butiran lengkap berkaitan dengan alamat tempat yang diadu, butiran barangan dan harga serta resit pembelian (sekiranya ada) supaya memudahkan siasatan dilakukan ke atas peniaga berkenaan bagi mempertingkatkan keberkesanan tindakan.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mengeksploitasi sebarang keadaan untuk menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya. - Berita Harian
Post a Comment