Ambil langkah pencegahan elak risiko kesihatan
Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai terutama di kawasan kualiti udara tidak sihat dan cuaca panas, mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata antara langkah itu ialah dengan mengurangkan aktiviti fizikal di luar dan sentiasa menggunakan topeng muka jika terpaksa berada di luar bangunan.
“Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan. Elakkan juga aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok.
“Orang ramai dinasihatkan supaya banyakkan meminum air kosong walaupun tidak terasa dahaga bagi mengekalkan kadar hidrasi sekali gus mengawal-atur suhu badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, orang ramai perlu mengelak daripada memakai pakaian tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan selain perlu kerap mandi.
Katanya, orang ramai juga perlu segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan terdekat jika tidak sihat.
“Orang awam boleh mendapatkan langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu dan cuaca panas menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan,” katanya. - Berita Harian
Post a Comment