Jenazah Muhammad Haziq selamat dikebumi
Jenazah Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang maut dalam serangan pengganas kulit putih di dua masjid di Christchurch pada Jumaat lalu, selamat dikebumikan jam 12 tengah hari tadi waktu Malaysia (5 petang waktu New Zealand).
EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh, memberitahu perkembangan terbaru itu kepada media selepas pada mulanya memaklumkan, jenazah dijangka dikebumikan pada jam 1.30 tengah hari waktu Malaysia (6.30 petang waktu New Zealand).
“Bagaimanapun, perincian masa dan lokasi jenazah Mohd Haziq ditemui tidak boleh didedahkan kerana tertakluk dengan akta privasi New Zealand,” kata Boon Poh yang menjadi wakil Kerajaan Pulau Pinang ke Christchurch susulan tragedi Jumaat lalu itu sebelum kembali ke tanah air malam tadi.
Muhammad Haziq adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.
Ketika kejadian pada jam 1.40 tengah hari waktu New Zealand itu, Mohd Tarmizi bersama Muhammad Haziq dan seorang lagi anaknya, Mohd Haris, 12, hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Mohd Haris terselamat tetapi trauma, manakala Mohd Tarmizi parah.
Insiden serangan di dua masjid di Christchurch itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia.
Selain Mohd Tarmizi yang berasal dari Alor Setar, Kedah, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Kampung Binja, Bayan Lepas di sini dan Muhammad Nazril Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor. Mereka kini menerima rawatan di Hospital Christchurch.
Dalam pada itu, Boon Poh menafikan Kerajaan Pusat lewat memaklumkan berita kematian Muhammad Haziq, sebaliknya bertegas, ia tertakluk kepada prosedur ditetapkan pihak berkuasa New Zealand.
“Berita kematian Muhammad Haziq hanya dimaklumkan kepada keluarga mangsa terlebih dahulu, sebelum pihak berkuasa memaklumkan perkara sama kepada Kerajaan Malaysia.
“Ini semua adalah prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa New Zealand. Justeru, tidak wujud kelewatan dalam mengendali dan memaklumkan berita kematian Muhammad Haziq,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya pada sidang media sama, meminta orang ramai berdoa supaya keluarga Muhammad Haziq diberikan kekuatan untuk menjalani ujian terbabit.
“Saya juga minta agar kita kekal tenang dalam menghadapi ujian ini dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Kerajaan New Zealand dalam merungkai masalah yang berlaku di negara mereka,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Kerajaan Pulau Pinang akan menghantar wakilnya hari ini ke Christchurch untuk bersama-sama dengan anggota keluarga Rahimi.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz akan mengiringi ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65, dan anaknya, Roshidi, 42, ke New Zealand. - Berita Harian
Post a Comment