Sindiket pelacuran dikesan guna WeChat, MiChat


Sindiket pelacuran di negeri ini beralih kepada penggunaan aplikasi WeChat dan MiChat untuk menawarkan perkhidmatan pelacur tempatan dan warga asing bagi menyukarkan ia dikesan pihak berkuasa.

Bapa ayam juga dikesan menggunakan nama samaran dan nombor kad pengenalan palsu ketika membuat tempahan bilik hotel bagi membolehkan pelacur jagaan mereka menawarkan perkhidmatan tanpa dapat dikesan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata taktik itu bagaimanapun tidak mampu menghalang operasi dan serbuan polis membanteras aktiviti pelacuran warga asing yang didalangi rakyat tempatan.

Katanya, modus operandi menggunakan aplikasi WeChat dan MiChat itu membolehkan pelanggan terus berhubung dengan pelacur berkenaan bagi mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu pembabitan orang tengah terutama bapa ayam sekali gus identiti sebenar mereka tidak dapat dikesan.

"Sebanyak 40 serbuan dengan seramai 299 pelacur warga asing berjaya ditahan dalam Ops Noda yang dijalankan antara 1 Julai hingga Jumaat lalu.

"Ia membabitkan seramai 222 pelacur tempatan dan 77 pelacur warga asing iaitu Vietnam (39), Indonesia (18), Thailand (13), China (empat) dan Filipina (tiga).

"Manakala bagi tempoh Januari hingga semalam pula, sebanyak 276 serbuan dengan 1,503 pelacur tempatan dan warga asing ditahan menerusi Ops Noda.

"Ia membabitkan 725 pelacur tempatan dan 778 pelacur warga asing iaitu Thailand (376), Vietnam (279), Indonesia (62), China (26), Filipina (10), Myanmar (lapan), Korea Selatan (enam), Laos (enam) dan masing-masing dua dari Kemboja dan Bangladesh,' katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, Polis Johor akan terus meningkatkan pemantauan berterusan bagi mengekang aktiviti maksiat terutama pelacuran di negeri ini.

"Sekiranya orang awam mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pelacuran mahu pun perjudian di kawasan perumahan mereka, aduan boleh dibuat kepada Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074," katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.