Pemandu undur lori tergilis anak saudara


Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut, selepas digilis lori yang dipandu bapa saudaranya di Kampung Aur Cina, Kubang Gadong, di sini.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi tadi itu, mangsa, Muhammad Aqil Darwisy Muhammad Imran meninggal dunia di Hospital Pasir Mas akibat cedera parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata ketika kejadian, bapa saudara mangsa sedang mengundurkan lori di sebelah rumahnya.

Katanya, semasa lori berkenaan bergerak, tayar belakang sebelah kiri lori berkenaan tersangkut, sebelum mendapati anak saudaranya berada di bahagian tayar berkenaan.

"Bapa saudara mangsa kemudian membawa mangsa ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh petugas hospital," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa dan bapa saudaranya tinggal serumah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.