Internet kelajuan tinggi lancarkan proses pembelajaran di luar bandar


Internet berkelajuan tinggi dinikmati pengguna luar bandar menerusi projek rintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), dilihat sangat membantu melancarkan proses pembelajaran secara dalam talian, terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Akses internet berkelajuan tinggi atau ‘High Speed Broadband’ (HSBB) yang turut dinikmati penduduk di Tun Ghafar Baba Kemendor, membolehkan mereka menggunakan pelbagai aplikasi pembelajaran tanpa gangguan, biarpun terdapat ramai pengguna dalam sesebuah rumah.

Salah seorang pengguna Muhammad Nazmi Aminuddin, 21, berkata, pembelajaran secara dalam talian sama ada menerusi panggilan video, google classroom, mahu pun aplikasi Whatapps tetap lancar, walaupun mereka tidak berada di dalam bilik kuliah.

“Memang terdapat perbezaan ketara sejak ia diperkenalkan lebih setahun lalu, jika saya mahu muat turun sesuatu video atau bermain ‘game’, memang langsung tiada masalah setakat hari ini.

“Kalau di rumah saya terdapat enam orang dalam keluarga menggunakan internet yang sama, namun kelajuannya tetap sama tanpa tersekat-sekat dan kami amat berpuashati dengan usaha dilakukan kerajaan, dalam meningkatkan mutu perkhidmatan jalur lebar terutama bagi kawasan yang jauh dari bandar,” katanya yang juga pelajar pendidikan perakaunan di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Perak ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Nazmi dan keluarganya menerima kunjungan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, yang mengadakan lawatan di rumah penduduk Felda berkenaan yang menggunakan perkhidmatan itu.

Sementara itu, Aminuddin Ali, 56, berkata, dia menggunakan perkhidmatan itu sejak bulan April tahun lepas bagi kemudahan mereka sekeluarga, terutama empat orang anak yang masih belajar dan bersekolah.

Katanya dengan membayar kadar RM140 sebulan untuk langganan internet, dia amat berpuashati kerana tidak lagi berhadapan masalah capaian yang rendah, sejak projek tersebut dilancarkan.

Menerusi projek NFCP yang dibangunkan kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), penduduk sekitar Jasin terutama di kuarters Polis Jasin, Taman Merbau Perdana, Taman Maju termasuk Felda Tun Ghafar Kemendor, kini dapat menikmati internet setaraf negara maju yang mencecah 1 Gigabit sesaat (1Gbps) dengan harga berpatutan.

 -- BERNAMA
Powered by Blogger.